“Eh, eh. Ha… kejap-kejap. Aku ada kerja ni.” Tindakannya semakin tidak menentu. Doh yang ditebarnya juga habis koyak rabak. Karim sedikit gelabah. Dia tidak menyangka soalan seperti itu akan disoal oleh Faiz.
“Tak solat lagi lah ni? Sekejap apanya Karim. Lagi sepuluh minit waktu nak habis.” Faiz bertegas sambil menunjukkan jam di telefon bimbitnya.
“Errr…ya,ya.” Karim semakin gelabah. Dibukanya laci meja, mahu mencari sesuatu. Dia menyelak-nyelak barangan di dalam laci.
“Aku tak ada kain pelikat dengan sejadah la.” Memang tiada sejadah dan kain pelikat di dalam laci tersebut. Tetapi akibat terkejut, badannya spontan mahu mendapatkan sejadah. Alasan tak logik itu terpancul daripada mulut Karim. Isterinya di sebelah tidak berkata apa-apa. Sekadar diam menahan malu. Dia meneruskan kerjanya bersendirian. Tak sanggup melihat suaminya gelabah tak tentu pasal, apatah lagi melihat wajah Faiz yang semakin kehairanan dengan gelagat suaminya itu. Dia perempuan, mungkin saja boleh menggunakan alasan kedatangan haid. Lebih baik dia diamkan diri sahaja.
“Kain pelikat tu bukan benda wajib Karim. Sejadah pun sekadar untuk dibuat lapik, bukan syarat sah solat. Kalau tak yakin kebersihan rumput tu, surat khabar kan ada? Hang ni Karim, macam tak pernah pulak solat atas tanah. Kan dulu waktu perkhemahan di hutan kita pernah diajar solat atas tanah. Hujan pulak waktu tu.”
“Ya, ya, ya…” itu saja jawapan yang Karim berikan. Dia membelek-belek lagi laci mejanya. Sekejap-sekejap tangannya meraba-raba pula rak kaca. Habis bertaburan beg plastik dan tisu yang asalnya tersusun kemas di situ.
“Abang cari apa?” Naimah segera bertanya kepada suaminya. Kerjanya membungkus murtabak yang dipesan pelanggan terganggu.
“Air. Mana air botol.”
“Mana ada air. Abang nak buat apa? Naimah bertanya kehairanan
“Ish kamu ni. Nak berwudu’ lah.”
Faiz sekadar menggelengkan kepala melihat tindakan Karim. Dia tidak mahu berkata apa-apa. Soalannya tadi sudah cukup menyebabkan Karim jadi tak tentu arah. Dari situ dia dapat simpulkan sesuatu. Karim dan isterinya tidak bersolat di gerai. Tetapi itu hanya pendapatnya. Dia akan bertanya kepada Karim untuk mendapatkan kepastian. Mana mungkin dia mahu biarkan sahabatnya berterusan begitu.
“Air tak ada lah bang. Tu, kat sana tu ada paip air.” Naimah memuncungkan mulutnya, menunjukkan arah deretan rumah kedai lebih kurang 15 meter dari gerai mereka. Karim segera bergegas ke sana untuk berwudu’. Dua minit kemudian, dia kembali ke gerai. Dia mengambil surat khabar lama yang disimpan dalam laci, lalu menghamparkannya di atas rumput di belakang gerainya. Faiz sekadar melihat. Orang ramai dan jiran sekeliling juga melihat perbuatannya.
Pantas sekali Karim bersolat. Tidak seperti ketika dia masih belajar. Qusyu’ dan tenang. Kekadang dia tampil ke hadapan menjadi imam solat. Itu dahulu, ketika mereka masih belajar di sekolah menengah.
Karim selesai solat. Dia bergegas kembali meneruskan kerjanya yang tertangguh. Api dapur dibesarkan sedikit. Dia mula menebar doh. Sedikit pun tidak memandang ke arah Faiz. Diam.
“Karim, apa semua ni?” Faiz bertanya, mahu mengungkai segala persoalan di benaknya.
“Kenapa apa?” karim bertanya, seolah-olah tidak mengerti apa-apa. Padahal dia tahu apa yang mahu disoal oleh sahabatnya itu.
“Hang tak solat ka sebelum ni? Aku tengok gaya hang tadi macam orang yang tak biasa solat kat tempat macam ni saja?”
Karim tak menjawab. Dia meneruskan kerjanya bersahaja. Naimah memandang ke arahnya. Soalan Faiz kepada suaminya itu, juga terkena kepada dirinya.
“Karim. Hang tahu kan, solat tu tiang agama. Sibuk macam mana pun kita tetap kena solat.”
Karim masih tetap berdiam. Perbuatannya itu seolah-olah menunjukkan bahawa dia memang seorang ‘pesalah’ yang telah terbukti melakukan kesalahan.
“Tu, kopiah atas kepala tu untuk apa? Takkan pakai sekadar nak bagitau pelanggan bahawa hang ni orang baik-baik. Itu menipu namanya.” Tiada pelanggan di gerai Karim. Faiz tahu bila masa yang sesuai untuk berkata-kata demikian.
“Cuba hang bandingkan hidup hang dulu dan sekarang. Dulu hang hanya ada motorsikal lama. Dari dulu motor tu saja yang hang bawak. Tapi sekarang, hang dah boleh beli van. Rezeki ni semua dari Allah. Masa susah kita bersyukur. Waktu senang, lebih-lebih lagi kita kena bersyukur Karim.”
“Faiz, aku bukan apa. Kekadang tak sempat. Takkan aku nak tinggal. Ada orang nak beli.” Faiz mula mencipta alasan untuk menutup kesalahannya. Dia diam. Tak dapat meneruskan kerjanya. Mujur saja tiada orang waktu itu. Gerimis semakin galak turun menyembah bumi.
Faiz bangun, dia mengemaskan kain pelikat yang terlilit di tubuhnya. Lalu bergerak mendekati sahabatnya itu.
“Karim.” Bahu Karim disentuh dari belakang. Naimah menginjak sedikit ke tepi, memberi laluan kepada Faiz. Dia meneruskan kerja seperti biasa, tetapi telinganya dipasang kemas. Mahu juga dia mendengar ‘ceramah’ yang akan Faiz sampaikan sekejap lagi. Itu agakannya.
“Hang rasa dekat padang mahsyar nanti, kalau Allah tanya kenapa hang tak solat, agak-agak boleh ka hang bagitau Allah “Ya Allah, aku tak sempat solat sebab sibuk buat murtabak. Aku sibuk sebab perlu siapkan murtabak yang orang mintak. Kalau aku tinggal, nanti aku rugi Ya Allah.” Boleh ka hang bagi alasan macam tu depan Allah nanti?” Faiz menutur bicara dengan lembut sekali. Tiada niat dalam hatinya untuk memarahi Karim. Dia mahu Karim mendengar dengan hati.
“Dekat masjid tu, ada seorang lelaki takdak kaki. Dia susah payah mengesot ke masjid sebab nak solat. Takkan kita yang sempurna macam ni tak boleh solat.”
“Berapa banyak sangat hang rugi kalau tinggalkan gerai lima minit. Hang takut pelanggan marah, tapi tak takut Allah marah?” Karim melepaskan doh ditangan. Dia berpusing menghadap Faiz.
“Bukan macam tu Faiz. Aku….”
“Tak apa lah Karim. Hang tak perlu bagitau aku. Hang bukannya tak tahu. Kita belajar sama-sama dulu Karim. Aku kenal hang. Cuma tolonglah, jangan buat lagi macam ni. Hang orang yang ada ilmu. Sepatutnya hang jadi contoh dekat peniaga-peniaga lain. Aku yakin, ramai lagi yang berniaga ni tak solat. Asar tertinggal, maghrib pun tertingal. Entah-entah, balik rumah penat, isya’ pun tinggal.”
“Tolonglah Faiz, jangan buat lagi macam ni, boleh? Semua ni untuk diri hang dan keluarga hang jugak. Bukan untuk sapa-sapa.” Faiz seakan-akan merayu, meminta sahabatnya berubah. Dia menoleh ke arah Naimah. Meminta supaya Naimah juga mengerti. Lalu dia kembali menghadap Karim.
“Insyaallah Faiz. Aku..Terima kasih sebab ingatkan aku. Aku tau, selama ni aku silap. Mungkin aku terlupa rezeki ni semua Allah yang bagi, bukan sebab usaha aku saja. Terima kasih Faiz.” Karim terus memeluk sahabatnya Faiz. Air matanya begitu murah mengalir keluar. Faiz menepuk-nepuk belakang Karim. Naimah tidak dapat menahan sebak. Dia juga tersedar, mereka berdua suami isteri terlalu asyik mengejar harta yang tak seberapa sehingga meninggalkan kewajipan sebagai seorang islam.
Orang ramai kehairanan melihat gelagat mereka bertiga. Jirannya kiri dan kanan turut merasa pelik. Walaupun mereka tidak mendengar dengan jelas perbualan Faiz dan Karim, tetapi perbuatan mereka terutamanya sejak Karim tiba-tiba bersolat di belakang gerai benar-benar menimbulkan pertanyaan. Tidak pula mereka datang bertanya. Masing-masing kembali tenggelam dengan kesibukan dunia mereka.
“OK lah Karim. Aku nak beli buah ni. Lepas tu terus nak ke masjid. Dah nak masuk Isya’ ni. Nanti bila-bila kalau tak bukak gerai, datang lah masjid. Banyak perkara nak dibuat kat masjid. Tenaga hang diperlukan.”
“Insyaallah. Aku akan cuba. Hari Sabtu aku tak bukak gerai. Mungkin aku boleh pi masjid.
Terima kasih ya Faiz sebab tolong ingatkan aku.” Karim sedikit tertunduk. Malu pada Faiz. Lebih malu dirinya pada Allah.
“Sama-sama. Tu tanggungjawab aku. Lepas ni kalau hang nampak aku buat benda tak betul, hang wajib betulkan aku. OK, aku pi dulu.” Mereka bersalaman. Faiz menepuk-nepuk bahu Karim.
“Bang.” Naimah menghulurkan kepada Karim bungkusan berisi murtabak untuk diberikan kepada Faiz. Tanda terima kasih kerana sudi memberi teguran yang terbaik kepada mereka.
“Eh, susah-susah saja.” Faiz menyambut beg plastik yang dihulur oleh Karim.
“Tak susah pun Faiz. Rezeki jangan ditolak.” Masing-masing kembali tersenyum setelah keadaan yang agak ‘tegang’ sebelum ini.
Faiz beredar dari gerai Karim untuk membeli buah epal yang dikirim emaknya. Hatinya terasa begitu lapang.
“Semoga Allah memberi hidayah kepada mereka berdua, dan juga kepada aku dan keluarga. Terima kasih Ya Allah kerana memberi peluang ini kepadaku.” Faiz melafazkan puji-pujian kepada Allah, tuhan yang memuliakan sesiapa yang Dia kehendaki dan menghina sesiapa yang Dia kehendaki. Semuanya rezeki dan hidayah daripada Allah.
-Tamat-
1 comment:
alhamdulillah...
lebih bgs dr dua cerpen sebelumnya!! tahniah2.
-kurang kesalahan, but ada satu yg penulis kurang periksa... sepatutnya nama karim tetapi tertukar pada faiz...
overall: panahan yg tepat kepada kebanyakkan peniaga.. klu mereka baca pasti terasa seperti lembu yg dilahap kulitnya...
most isu ttg solat yakni tiang agama..tetapi ramai yg terbuai dengan bayangan wang ringgit depan mata. sama juga ketika solat jumaat ramai pakcik2 dan abg2 yg tuang tanpa rasa berdosa.
- kamu sudah pandai berkomunikasi dengan badan.. good enough!
Post a Comment