“Bang! Murtabak ayam dua, daging dua. Nak yang panas-panas punya. Bungkus ya.”
“Murtabak siap!” Karim menjawab tanpa memandang wajah pelanggan yang mahu membeli itu.
Tangannya lembut membelai adunan doh di atas meja stainless steel gerai murtabaknya. Tangan kanannya mencelup sedikit minyak, lalu dibiarkan menitik di atas meja. Saki baki minyak disapu di atas doh yang dibentuk membulat, lalu dilenyek-lenyek menjadi leper. Kemudian, dia memegang doh yang telah leper itu dengan kedua-dua tangannya, lalu tangan yang sebelah kanan disilang ke kiri dan dipusing lembut bak tangan penari inang.
Doh yang mengembang di udara dihempas ke atas meja. Dia menebar lagi sehingga doh itu benar-benar nipis. Bahagian tepi doh yang terlipat diratakan, lalu dia mengambil isi murtabak yang telah masak di atas kuali nipis dan diletakkan betul-betul di tengah doh nipis yang dijadikan kulit murtabak. Isi itu dibalut dengan sempurna. Kemudian dia mengangkatnya dan diletakkan kembali di atas kuali nipis panas yang berminyak. Sementara menunggu untuk masak, Karim membetulkan kopiah putih bersulam benang emas di atas kepalanya. Terlalu asyik menebar doh sehingga senget dibuatnya.
Setelah benar-benar masak, dia mengangkat murtabak tersebut dan diletakkan di sebelah. Lantas, isterinya Naimah segera membungkus dengan plastik jernih. Cukup bilangan yang diminta pelanggan, dia memasukkan murtabak tersebut di dalam beg plastik. Disertakan juga dua bungkusan kecil berisi bawang merah yang diperam. Semuanya berharga enam ringgit Malaysia.
Belum sempat pelanggan tadi berlalu pergi, datang pula dua tiga orang pelanggan baru yang teringin mahu menikmati keenakan murtabak ayam dan daging yang dibuat oleh Karim. Begitulah kehidupan baru Karim sejak tiga bulan lepas. Setiap hari mana-mana tempat yang ada pasar malam di sekitar Seberang Perai, pasti ada gerai murtabak Karim. Gerainya jarang-jarang putus dikunjungi pelanggan. Murah sungguh rezeki dia dan isteri.
Hari jumaat, Karim akan membuka gerai di pasar malam Bertam, tidak jauh dari rumahnya. Dia telah menetap di situ lebih lima tahun. Seperti hari-hari biasa, pelanggannya selalu ramai.
“Bang, bagi saya murtabak dua puluh.”
Terkejut, Karim terus memandang ke arah pelanggan yang meminta dengan jumlah yang banyak itu. Pelanggan itu tersenyum lebar, tertahan-tahan mahu ketawa melihat wajah Karim yang seperti orang menang loteri sejuta ringgit.
“Laa, hang rupanya Faiz. Terkejut aku tadi. Mai-mai, jemput duduk dulu. Sat, aku nak siapkan murtabak ni dulu.” Karim menyuruh isterinya memberikan kerusi kepada Faiz.
Faiz membetulkan kain pelikat cap Gajah Duduk yang dipakainya lalu duduk menyilang kaki di belakang Karim yang sedang sibuk melayan permintaan pelanggan. Matanya asyik melihat Karim menebar doh untuk dibuat kulit murtabak. Dia pernah belajar menebar roti canai, tetapi sudah lama tidak dipraktik. Mungkin sudah hilang seninya.
“Hang dari mana Faiz? Lawa semacam ja. Siap dengan baju melayu lagi ni?”
“Lawa ka? Biasa saja. Aku solat maghrib di masjid tadi. Terus singgah ke sini. Mak aku kirim buah epal. Kebetulan nampak hang dekat sini, singgah kejap. Dah lama tak jumpa hang. Maklum la, aku ni bukan rajin sangat shopping kat pasar malam ni.”
“Owh.” Ringkas jawapan Karim.
“Macam mana bisnes hang? Rancak aku tengok.”
“Alhamdulillah. Macam ni la. Tak menang tangan aku dibuatnya. Nasib baik isteri aku ada sekali. Kalau aku seorang, tak bukak gerai lah jawabnya. Hari ni macam kurang sikit pelanggan. Langit pun mendung semacam ja.”
“Dah hujan pun. Aku rasa ada dua tiga titik air hujan terkena muka. Gerimis.”
Karim terus dengan kerjanya meskipun ketika pelanggan tiada. Sengaja disiapkan banyak supaya dapat bersembang dengan tetamu gerainya, Faiz.
“Hang masih kerja dekat kedai Kak Salmah tu lagi ka? Semalam hang kat mana?” Karim sudah hampir lima tahun bekerja sebagai penebar roti canai di kedai makan Kak Salmah, sejak dia berpindah ke Bertam. Dia memang mahir membuat pelbagai jenis roti. Oleh kerana pendapatan yang tak seberapa di kedai makan itu, dia dan isteri mengambil keputusan untuk berniaga di pasar malam.
“A’ah, aku masih kerja di situ macam biasa. Semalam hari khamis. Aku kat Tasek Gelugor. Depan balai polis tu. Hang buat apa sekarang ni?”
“Macam biasa. Siang sibuk dengan kerja. Malam pulak, kekadang ada mesyuarat, hujung minggu ada program. Macam tu lah.”
“Owh.”
“Dulu kita selalu pi program sekali. Sekarang ni aku seorang saja. Boring takdak kawan.” Faiz memandang tepat ke arah Karim. Kata-katanya seolah-olah mahu mengajak Karim kembali dengan aktiviti bersamanya.
Karim tidak menjawab. Sekadar meneruskan kerjanya menebar doh. Isterinya langsung tidak mengendahkan perbualan mereka berdua.
Keadaan senyap sebentar. Masing-masing membuat kerja sendiri. Faiz memandang di sekitar gerai milik Karim. Sesekali, dia memandang jauh ke gerai-gerai lain di sekitarnya. Dia melihat gelagat seorang makcik yang sedang memilih ubi keledek. Mungkin hendak dibuat mee kuah, Faiz meneka di dalam hati.
Faiz meraba poket baju melayunya untuk mengambil telefon bimbitnya. Lalu dia menekan butang unlock, lantas lampu LED menyala menerangi skrin telefon bimbitnya. Dia melihat jam digital di skrin. Sudah pukul 8.15 malam. Sudah hampir 15 minit dia berada di gerai murtabak Karim. Dia membelek-belek lagi keadaan kawasan gerai Karim. Seperti ada benda yang mahu dicarinya.
“Hang solat dekat mana Karim?” mata Faiz masih tercari-cari kawasan yang sesuai untuk bersolat di sekitar gerai Karim.
“Apa dia Faiz?” Karim yang tersedar namanya dipanggil kembali bertanya.
“Tak, aku tanya tadi. Hang solat kat mana? Belakang tu ka?” sambil tangannya menunjukkan satu kawasan berumput di belakang gerai Karim, bersebelahan longkang berdiameter 50 sentimeter.
“Ehem.” Karim tidak menjawab. Sekadar berdehem yang tersekat-sekat. Dia memandang ke arah isterinya. Mukanya sedikit berubah. Begitu juga muka isterinya, Naimah. Faiz kehairanan melihat reaksi Karim dan isterinya.
“Kenapa? Salahkah aku tanya soalan tu Karim.?
Karim meneruskan kerjanya, seolah-olah tidak mendengar apa yang diucapkan oleh Faiz. Faiz bertambah hairan. Mula timbul syak wasangka dalam hatinya.
“Takkan kot” suaranya itu sekadar berlegar-legar di dalam hati. Dia tidak mahu menuduh sesuatu kepada sahabatnya Karim. Dia kenal siapa Karim. Tak mungkin perkara seperti itu dilakukan oleh insan seperti Karim.
“Karim, kenapa tak jawab?” Faiz mahukan penjelasan.
Bersambung...Insyaallah.
No comments:
Post a Comment