Sunday, November 9, 2008

suasana ibadah ...

Selesai solat fardhu di masjid, disambung pula dengan solat sunat. Tidak cukup dengan itu, Al-quran dicapai lalu dibaca dengan kusyuk dan asyik.

Tetapi apabila berada di rumah, usai solat fardhu, terus dilipat sejadah, tanpa sempat untuk berdoa, apatah lagi berzikir dan membaca Al-quran.

Kesimpulannya, apabila berada di masjid, kita banyak melakukan ibadah termasuk ibadah sunat. Tetapi apabila berada di rumah, memadai dengan ibadah wajib semata-mata.

Persoalannya, adakah ibadah yang dilakukan di masjid tidak ikhlas dan hanya dilakukan kerana terdapat ramai orang di sana dan ibadah di rumah malas dikerjakan lantaran tiada siapa melihatnya?

Ada yang berpendapat demikian. Katanya jika ibadah kita di hadapan manusia lebih banyak daripada apabila bersendirian, maka semaklah balik niat kita beribadah. Adakah dibuat kerana Allah atau hanya untuk mendapat pujian daripada manusia.

Benar pernyataan tersebut. Kita perlu sentiasa menyemak amalan seharian. Adakah ikhlas kerana tuhan ataupun hanya sekadar untuk menarik perhatian dan mendapatkan pujian.

Namun untuk mengatakan rajin beribadah di masjid tetapi kurang pula ibadahnya di rumah atau ketika berseorangan sebagai kurang ikhlas atau untuk mendapat perhatian semata-mata....adalah tidak tepat.

Persekitaran dan suasana boleh membentuk peribadi serta tingkahlaku.

Sebagaimana suasana kejiranan yang penuh dengan keganasan serta kezaliman dapat menjadikan manusia itu seorang yang sukakan keganasan dan tidak pedulikan penindasan, suasana dan persekitaran yang tenang serta dipenuhi dengan orang-orang yang beribadah seperti di masjid juga dapat menimbulkan ‘semangat’ serta keinginan untuk sama-sama menambah amal ibadah.

Berlainan dengan ketika berseorangan, ketiadaan dorongan serta ditambah pula dengan bisikan syaitan bisa membuat seseorang itu berasa ‘berat’ dan malas untuk melakukan amal ibadah melainkan dia telah cukup kuat untuk melawan segala bisikan serta kemalasan.

Sebab itulah, pentingnya ‘suasana’ itu diwujudkan dalam kehidupan seharian kita. Contoh termudah, sebagai seorang pelajar, untuk belajar dengan tenang dan efektif, kita memerlukan ‘suasana’ yang sesuai dengan jiwa. Ada yang hanya boleh belajar di waktu sunyi, ada yang memerlukan ‘suara’ lagu dan muzik untuk mendapatkan nikmat belajar.
Aku pula, suasana di rumah kurang berkesan untuk memberi rangsangan untuk belajar. Malah lebih sanggup untuk berada di dalam kepulan asap rokok, semata-mata untuk belajar bersama-sama dengan kawan-kawan yang mampu memberi dorongan untuk belajar, walaupun kekadang terpaksa berpura-pura sesak nafas untuk menyuruh kawan-kawan supaya tidak menghisap rokok.

Pendek kata, suasana mempengaruhi sifat dan sikap kita. Maka kitalah yang berperanan untuk membina serta mencipta suasana tersebut.

Paling penting ialah wujudkan biah atau suasana tersebut di dalam diri kita. Apabila ‘suasana’ tersebut dapat dibentuk dalam diri, maka kita akan berupaya untuk mencorak persekitaran sesuai dengan kehendak kita.

Suasana ibadah dapat diwujudkan dengan kita sentiasa menyedari bahawa diri kita ini selamanya ialah HAMBA kepada ALLAH. Apabila ada kesedaran sebagai seorang hamba, maka segala-galanya adalah milik tuan empunya diri iaitu Allah. Kesedaran ini dapat melahirkan rasa kekerdilan di hadapan tuhan, dan kekerdilan memerlukan tempat pergantungan. Maka, hanya Allah sahajalah tempat kita memohon segala sesuatu.

“Engkau sahaja kami sembah dan Engkau sahaja tempat kami memohon pertolongan”
(Al-fatihah : 5)


“Allah tempt meminta segala sesuatu.”
(Al-Ikhlas : 2)


Di mana pun kita berada, cuba cipta suasana yang dapat mengingatkan kita kepada Allah.

Ketika berseorangan, cuba kita renung jauh ke dalam diri. Cuba kita ingat kembali segala nikmat dan kesenangan yang pernah kita perolehi. Cuba pula kita ingat, betapa banyak dosa yang kita telah lakukan sebagai ‘balasan’ kepada segala nikmat tersebut.

Perbanyakkanlah istighfar kerana kita sering terlupa tentang hakikat kita dilahirkan ke dunia. Apabila bersama-sama dengan kawan-kawan, sering sahaja kita terlupa, terlalu banyak suka, hingga kekadang berlebih-lebihan. Maka, gunakanlah waktu sunyi untuk menggantikan kembali masa yang kita sia-siakan tersebut.

Perlukan rangsangan luar untuk mendapatkan suasana tersebut?
Pasanglah zikir-zikir atau nasyid yang boleh mengingatkan kita kepada tuhan. Kemudian, sama-samalah berzikir. Renungi setiap kalimah yang dilafazkan. Kaitkan ia dengan kehebatan tuhan. Nescaya hati akan menjadi tenang.

Ketika sedang berkenderaan, masa paling baik untuk kita cipta suasana keinsafan.
Wujudkan suasana zikr al-maut. Ingatkan diri tentang mati. Perjalanan yang ditempuh, adakah akan sampai ke destinasi? Andai maut datang secara tiba-tiba, adakah kita sudah bersedia? Maka binalah pengharapan yang tingi kepada Allah. Mohon agar dijauhkan daripada sebarang kecelakaan. Dan sentiasalah bersedia untuk itu. Sekurang-kurangnya, andai terjadi apa2, biarlah ia terjadi dalam keadaan kita sedang berzikir mengingati Allah.

Teguhkan diri sebagai seorang muslim. Walau di mana pun kita berada, kita merupakan muslim. Dan berbanggalah menjadi seorang muslim. Seorang muslim yang betul-betul menghayati makna sebenar islam. Selamat, dan sejahtera. Sejahtera pada diri dan sejahtera juga kepada orang sekeliling.

Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu, mengembu..

Pepatah yang tidak boleh dipegang sepenuhnya. Sebagai seorang muslim, kita punya jati diri tersendiri.

Andaikata seekor singa memasuki kandang kambing, tak perlulah dia meletakkan dirinya sebagai seekor kambing dengan mengembek, kerana mengembek itu merupakan ciri-ciri seekor kambing. Kenyataannya ialah dia seekor singa. Cuma, untuk berada di dalam kelompok kambing, perwatakannya sebagai seekor singa perlulah dikawal. Kegarangannya perlulah dikurangkan pada tahap yang boleh diterima oleh kambing. Tidak menyebabkan kambing-kambing tersebut lari mejauhinya, tetapi menerimanya sebagai seekor singa yang mampu memahami kehendak kambing.

Seorang muslim yang berpendirian, ke mana sahaja dia pergi, sifatnya sebagai seorang muslim sentiasa di bawa bersama. Andai dia terjun ke dalam kelompok2 yang lupa kepada Allah, tidak perlulah dia bersama-sama untuk tidak mengingati Allah, sebaliknya, sifat muslimnya terus ditonjolkan, tetapi tidak sehingga menghina kelompok2 yang bersama-sama dengannya. Maka, golongan tersebut akan dapat menerima dirinya untuk bersama-sama dengan mereka, walaupun dia bukanlah serupa dengan mereka. Malah, dengan berpendiriian sedemikian, orang akan meyakini untuk bersama-sama mencontohi diri.

Suasana ibadah yang telah terbentuk dalam diri, bisa mencorak persekitaran menjadi persekitaran yang lebih baik... itulah yang sepatutnya dilakukan oleh setiap individu muslim.

Mulakan dari dalam diri. Apabila kita telah merasai nikmatnya, maka sebarkanlah nikmat tersebut kepada orang lain. Nescaya Allah akan kekalkan nikmat tersebut dalam diri kita..
Insyaallah...

Wallahu’alam......

Hisyamuddin Kamarudin..
Jusco Bandar Perda,
4.41 p.m


No comments: