Monday, November 10, 2008

berilah kerjasama......

Dari jauh, seorang wanita menanti di tengah jalan, di hadapan pintu masuk Kompleks Bukit Jambul. Apabila aku semakin menghampiri, wanita tersebut mula memperkenalkan produknya kepada aku. Linguaphone..

Lalu, sebagai respon spontan aku mengangkat tangan,
sekaligus berkata ”tak apa, terima kasih.”

selalunya, alasan begini membolehkan kita mengelak daripada terus mendengar ’leteran’ si promoter kerana sudah ditanam dalam minda bahawa produk itu tidak diperlukan.

Tetapi perkara itu tidak terjadi, sebaliknya....

”amboi ! dah biasa dok angkat tangan ya? Sikit-sikit angkat tangan. Mari sini dengar dulu.” wanita tersebut membalas. Suaranya agak ’menakutkan.’

Agak terkejut dengan respon tersebut, aku membalas.

”maaf, ada hal.”

Garangnya akak nie, aku berbisik dalam hati.

”nanti boleh sambung hal tu. Mai dengar dulu, nak bagitau.”

Aku akur dengan permintaan wanita tersebut. Lalu duduk menghadapnya, bersedia mendengar apa yang hendak diterangkan kepadaku.

”nak ke mana?” wanita tersebut memulakan bicara.

”nak ke kedai Popular, beli buku.”

”Owh. Student USM ka?” wanita tersebut bertanya lagi, mungkin kerana perasan baju berlogo USM yang aku pakai.

”ya.” ringkas aku menjawab.

”OK. Pernah dengar tentang Linguaphone?” mula memasuki topik sebenar.

”pernah, dekat USM. Dan beberapa tempat lain.”

”pernah dengar penerangan pasal Linguaphone?”

“pernah… Eh!! Belum pernah dengar.” Sememangnya aku tak pernah mahu mendengar. Cuma nama produk sahaja yang pernah aku dengar.

“OK.”

Sebelum wanita tersebut menerangkan tentang produk, beliau terlebih dahulu menanyakan tentang profile peribadi. Lalu dicatat semuanya dalam satu borang. Lengkap dengan tarikh dan segala butir-butir maklumat yang diperlukan.

”untuk apa tu?” aku mula bertanya. Sifat ingin tahu memang dikurniakan kepada manusia, lebih-lebih lagi manusia yang bernama Hisyam ni.

”Hmm, kami kena rekod setiap penjelasan yang kami dah beri kepada orang ramai. Perlu dicatat, berapa orang yang sudah kami jumpa untuk beri penjelasan tentang produk ni. Kalau tak dapat jumpa orang langsung, teruklah.” lebih kurang begitu wanita tersebut memberi penjelasan.

”Owh, macam tu.” aku mula memahami skop kerja promoter tersebut.

”walaupun produk tak terjual, yang penting kita kena usaha untuk perkenalkan produk ni kepada orang ramai. Sebab tu kena catat setiap maklumat, untuk membuktikan kita dah berusaha untuk beri penjelasan kepada orang ramai.”

”adik tak mahu beli pun tak apa, tapi dengar dahulu” wanita tersebut menambah.

Terharu.. aku semakin menghargai pekerjaan wanita tersebut. Sempat aku bertanya kepada wanita tersebut kenapa memilih profesion ini. Banyak lagi pekerjaan di luar sana. Tiada respon, melainkan senyuman. Tak mengapa, kerana aku rasa aku faham.

Maka, aku pun mendengar dengan kusyuk sambil bertanya pelbagai soalan, walaupun tiada langsung keinginan untuk membeli.

Siapa suruh tahan aku, silap orang la.

Bukan hal tersebut sebenarnya yang ingin aku sampaikan, tetapi Cuma mahu menimbulkan satu persoalan kepada semua.

Sejauh mana kita menghargai pekerjaan tersebut? Menghargai orang yang melakukan pekerjaan seumpama itu? Bersedia memberi kerjasama dengan individu-individu yang melakukan pekerjaan sedemikian rupa.

Yang aku maksudkan, bukan menjual produk semata-mata, tetapi kepada perkara-perkara yang memerlukan kita meluangkan sedikit masa, untuk kita memberi respon kepada orang yang bertanya. Sebagai contoh, kajian lapangan, survey, bancian, mencuba produk dan sebagainya.

Aku dahulunya, seperti kebanyakan masyarakat di luar sana, kurang berminat untuk bekerjasama, menjawab soalan, mengisi borang, memberi pendapat tentang isu dan sebagainya.

Mengapa hal ini berlaku?

Pertamanya, kita tidak pernah merasai apa yang dirasai oleh mereka yang menjalankan pekerjaan tersebut.

Kedua, kita tidak memahami apa yang diperlukan dan apa yang diharapkan oleh mereka yang melakukan perkara tersebut.

Ketiga, kita memang seorang yang langsung tidak boleh memberi kerjasama dengan orang lain. Pendek kata, hanya pentingkan diri sendiri.

Melainkan jika kita betul-betul sibuk dan mengejar masa, maka tak mengapalah untuk mengatakan, ”maaf saya sibuk.” tetapi kadang-kadang ayat tersebut hanyalah untuk melepaskan diri.

Sehinggalah, apabila aku sendiri terlibat dengan kerja-kerja seumpama itu.

Aku pernah turun ke lapangan masyarakat untuk melakukan ’survey’. Bertanyakan tentang isu-isu semasa, juga pernah meminta pendapat tentang masalah sosial, tentang ekonomi, termasuk tentang politik negara.

Dan aku pernah menjalankan ’survey’ di masjid-masjid sekitar Pulau Pinang, membantu seorang Ustaz yang hendak menyiapkan tesis Masternya. Pengalaman yang cukup menyeronokkan, tetapi penuh dengan cabaran. Berseorangan, aku terpaksa melengkapkan 25 borang untuk setiap masjid yang telah ditetapkan. Maksudnya, aku perlu bertemu dengan 25 orang di setiap masjid, dan sebanyak 5 masjid sebagai ’tapak kajian.’

Masa yang terhad, kekadang menjadi halangan. Kekadang aku terpaksa berada di sekitar masjid sejak waktu zohor, sehingga isyak. Dan kekadang, terpaksa datang kembali pada hari berikutnya untuk melengkapkan borang-borang tersebut.

Watak dan perangai yang pelbagai oleh ahli qariah juga banyak mengajar erti kesabaran. Memang permintaan untuk menyoal selalu ditolak. Tetapi itu perkara yang sudah dijangka.

Paling mencabar tetapi paling menyeronokkan ialah semasa kajian di Masjid Kapitan Keling. Kebanyakan ahli Qariah ialah India Muslim. Dan aku diberitahu, ramai di kalangan mereka datang dari India. Maksudnya, mereka tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa melayu. Mulanya agak keberatan, tetapi Alhamdulillah, ahli qariah lain banyak membantu terutamanya AJK masjid. Bertindak sebagai penterjemah, AJK tersebut menerangkan setiap percakapanku dalam bahasa tamil kepada responden yang tidak tahu berbahasa melayu. Malah aku dijamu dengan kuih serta air semasa membuat kajian tersebut. Terharu sungguh rasanya.

Aku sering menelefon Ustaz, mengadu kerana sudah ’keletihan’ untuk menyiapkan tugasan tersebut, tetapi ustaz kembali menyuntik semangat untuk aku teruskan. Bukan soal duit yang aku kejar, tetapi pengalaman tersebut menyebabkan aku menerima tugasan tersebut. Lagipun, aku memang suka kerja-kerja yang melibatkan masyarakat serta berjumpa dengan orang ramai.

(macam lari tajuk ja.......)

Hmmm, sejak aku terlibat dengan kerja-kerja seumpama ini, aku semakin menghargai setiap orang yang datang kepadaku, sama ada untuk disoal, untuk menjawab soalan, ataupun untuk mencuba produk. Paling tidak, jika diminta, aku akan berhenti sekejap dan bercakap sesuatu, lalu aku beredar.

Pasti mereka akan menghargai apabila kita memberi kerjasama dengan mereka. Mungkin ada yang akan mendoakan kita kerana kita telah membantu kerja mereka. Setelah selesai aku menemuramah responden, aku akan ucapkan terima kasih, lalu berdoa semoga dipermudahkan pekerjaan orang yang menolongku. Mudah-mudahan Allah permudahkan pekerjaan kita apabila kita memudahkan kerja orang lain.

Aku mengesyorkan kepada sahabat-sahabat, andai kata diberi peluang untuk melakukan kerja-kerja sedemikian, ambillah peluang tersebut. Banyak pengalaman yang boleh ditimba sewaktu proses tersebut. Yang penting kemahuan, serta memerlukan juga keberanian untuk memulakan perbincangan.

Aku sering teragak-agak untuk bertemu dengan responden. Tetapi fikirku, jika tidak di cuba, pasti rugi. Seperti di Masjid Kapitan Keling, apabila aku bertemu dengan seorang pakcik, dia tidak dapat bertutur dalam bahasa melayu. Aku terus menelefon ustaz.

”macam mana Ustaz, ramai yang memang India tulen punya. Melayu pun tak tau nak cakap. Jenuh la.”

”cuba la orang lain. Boleh punya. Kamu kan cekap bab-bab macam ni.”

Aku tercabar. Mula menghendap-hendap sekumpulan pakcik yang seedang melepak. Dengan hati yang agak berat, aku mendekati mereka, lalu menerangkan tujuan aku datang. Alhamdulillah, respon yang sangat baik. Hinggalah aku dijamu dengan kuih dan air.

Satu lagi, ketika di masjid terapung Batu Feringgi. Aku tiba di sana sebelum maghrib, dan dimaklumkan ada kuliah maghrib selepas solat. Sudahlah datang dari jauh, ada kuliah maghrib pula. Aku teragak-agak, sama ada mahu pulang atau terus di situ. Lalu aku mengambil keputusan untuk berjumpa dengan imam serta Ustaz yang akan memberi kuliah maghrib tersebut.

Alhamdulillah, permintaan aku diterima. Sebelum memulakan kuliah, ustaz tersebut meminta borang kajian tersebut diedar kepada ahli qariah. Lalu ustaz tersebut sendiri yang membaca dan menerangkan soalan-soalan dalam borang tersebut. Mereka sama-sama mengisi borang kajian tersebut. Sibuk mengisi borang, waktu kuliah ustaz tinggal 15 minit sahaja. Sangat-sangat terharu aku dibuatnya.

Belum cuba, belum tahu. Jika aku pulang malam tersebut, pastinya takkan habis borang kajian tersebut diisi. Namun, Allah memudahkan pekerjaan aku. Alhamdulillah. Cuma, sepanjang perjalanan untuk ke setiap masjid, aku sering berdoa.

”Ya Allah, Engkau ikhlaskanlah hati ku membuat pekerjaan ini. Niatku untuk menolong Ustaz menyiapkan kerjanya. Engkau permudahkanlah setiap pekerjaanku dan lancarkanlah tutur bicaraku untuk berhadapan dengan orang ramai.”

Kita mampu melakukan sesuatu bukan kerana kita pandai melakukanyya, tetapi semuanya kerana Allah mempermudahkan pekerjaan tersebut terhadap kita. Maka, pengakhiran pekerjaan, ucaplah rasa syukur kepada Allah kerana dengan izin serta kehendakNYA lah kita mampu menyiapkan setiap pekerjaan.

Allahu’alam..



No comments: