Sunday, November 30, 2008

musafir ke Kelantan...

Tak tahu nak bermula dari mana. Musafir ke Kelantan kali ni memang sangat menyeronokkan. Sebelum ni pernah 2 kali menjejakkan kaki di bumi bertuah, bumi survival ni...bersama keluarga dan untuk berprogram.

Musafir kali ni, tujuan utama ialah ke kenduri perkahwinan seorang sahabat, pimpinan PMIUSM. 4 hari 3 malam..maka, segala aktiviti dirancang sebaiknya.


KHAMIS......

Mula bertolak pada sebelah pagi, kami singgah di beberapa tempat di Penang sebelum betul-betul menuju ke Kelantan. Van yang sarat dengan 10 orang penumpang mula bergerak ke Pantai Timur.

Gerimis yang menitis menimpa bumi mengiringi perjalanan kami. Mendung dan dingin mengurangkan keletihan bermusafir. Namun, yang hobinya tidur, terus melayan mimpi. Yang hobinya suka termenung, maka termenunglah dia memandang pemandangan yang mengasyikkan. Melihat gunung ganang yang terpasak, teringat aku dengan sebuah hadith nabi yang selalu didengar dalam koleksi zikir-zikir yang ada kaitannya dengan gunung, iaitu :-

”Orang beriman melihat dosanya umpama gunung yang besar, yang akan menghempapnya, manakala ahli maksiat melihat dosanya umpama lalat yang hinggap dihidungya, apabila dia mengisyaratkan dengan tangannya, maka lalat itu akan lari.”
(H.R. Al-Bukhari)

Terfikir aku, semasa membuat dosa, tak pernah terasa perbuatan tersebut sesuatu yang ’berat’ untuk ditanggung. Andai termampu, mahu saja aku mengambil gunung-gunung di banjaran tersebut dan meletakkannya di atas kepalaku, agar aku merasa bahawa dosa itu sebenarnya merupakan beban yang tak tertanggung dek badan.


Sampai di Puncak Titiwangsa, kami singgah sebentar menikmati pemandangan yang indah dan udara dingin yang mencucuk-cucuk hingga ke sum-sum tulang. Kerdil terasa berada di bumi Allah yang luas. Luas dan besarnya hasil ciptaan Allah, maka Maha Luas dan Maha Besarlah Allah yang menciptakannya.

Selesai solat, kami teruskan perjalanan menempuh jalan-jalan berliku ke Kelantan. 4 ’road block’ sepanjang perjalanan kami lalui, hampir semua bertanyakan soalan yang sama. ”nak ke mana ramai-ramai ni?” takut-takut kami ni menyeludup manusia dari sempadan. Mungkin sahaja...

Sampai ke Kelantan, kami turunkan seorang sahabat di rumahnya, lalu kami terus ke tempat penginapan, rumah sahabat anak jati Kelantan merangkap ’Big Boss kami, YDP PMIUSM. Berehat sebentar di rumah, selesai isyak kami teruskan aktiviti pertama. Shopping di KB Mall... tapi bukan untuk diri sendiri melainkan mencari hadiah perkahwinan sahabat tersayang. Hasil syura, kami memutuskan membeli $ sebagai hadiah.

Wakaf Che Yeh.. pasar 24 jam bak kata anak jati Kelantan. Pasar malamnya begitu ’membutakan’ mata hati dan akal.. kenapa? Satu malam, aku habis berpuluh-puluh ringgit membeli $. Tapi tak apa, untuk kegunaan.. Cuma ianya hanyalah ‘kehendak’ dan bukannya ‘keperluan’.

Kemudian, kami pulang ke rumah untuk ’recharge’ tenaga untuk kegunaan besok harinya......

JUMAAT....

Pelik..sangat pelik pemandangan di sini. Rasanya inilah satu-satunya tempat di Malaysia yang ada perkara sebegini. Di tengah-tengah pekan, di celah-celah bangunan, beberapa khemah didirikan. Di tengah-tengah, satu khemah istimewa untuk seseorang yang istimewa. Pagi jumaat, kami terus ke Kota Bharu untuk mendengar kuliah Tok Guru. Seperti yang aku ceritakan di atas, kuliah tersebut bukan di dalam masjid, bukan juga di dalam dewan dan stadium, tetapi di tengah-tengah jalan, di atas pentas yang ringkas.


Beruntung masyarakat di Kelantan. Pemimpin turun, duduk di hadapan. Tak perlu ada ’body guard’ yang menghalang untuk berjumpa dan bersalam. Aku sempat berada di atas pentas yang sama dengan Tok Guru Nik Aziz untuk mendengar kuliah pagi tersebut. Antara isi kandungan kuliah tafsir yang sangat terkesan dalam hati ialah apabila Tok Guru memberitahu tentang kekuasaan Allah yang berkuasa ’menampung’ air hujan di atas langit. Katanya, andai tiada siapa yang menampung air yang sebegitu banyak, maka cuba bayangkan jika air tersebut jatuh sekaligus menimpa umat manusia yang begitu kerdil di atas muka bumi. Nescaya semua yang berada di bumi akan hancur dan mati. Namun, Allah menampung semua air tersebut dan menurunkan sedikit demi sedikit, titisan demi titisan dengan jumlah yang telah ditetapkan, seperti yang terkandung dalam Al-Quran.

Habis kuliah, kami membeli-belah buat kali kedua. Semua menyerbu kedai kitab. Kali pertama sampai, berpinau rasanya kepala melihat buku yang terlalu banyak. Sampaikan tak tahu untuk memilih buku yang hendak dibeli,. Namun aku perlu mencari sesuatu untuk dijadikan santapan rohani. Selesai beli buku, aku berseorangan mencari baju untuk kakak dan emak.

Seronok melayan penjual baju di situ. Dengan loghat Kelantan yang masih belum fasih, aku cuba berbicara. Penjual tersebut masih belum dapat mengesan bahawa aku sebenarnya anak jati Pulau Mutiara, sehinggalah selesai aku membeli jubah kakak, dan tetiba aku terkantoi.. “sini, mano nok caghi baju KELAWAQ?...ehh!! kelawor”. Semua yang berada di situ tergelak. Macam mana boleh terkeluar loghat tu pulak. Terpaksalah aku mengaku yang aku ni orang utara, baru hendak belajar-belajar ber’kecek’ kelantan.






Selesai membeli belah di sekitar kawasan kuliah, kami bergerak ke destinasi seterusnya. Cadangan asal hendak memlihat-lihat Pasar Siti Khadijah dan membeli barang di situ, namun kami perlu bersolat sebentar lagi. Jadi, ‘shopping’ di PSK kami tangguhkan. Kami terus bergerak ke Masjid Muhammadi yang tersergam indah. Rambang mata melihat baju-baju jubah yang dijual di hadaan masjid. Terpaksalah aku ‘memejamkan’ mata apabila melalui kawasan tersebut. Takut-takut, terbeli pulak.



Selasai solat jumaat, kami ronda-ronda di sekitar kawasan tersebut. Kurang bernasib baik kerana hari jumaat merupakan hari cuti di Kelantan. Banyak tempat-tempat menarik seperti istana dan muzium yang ditutup. Tetapi sekurang-kurangnya, kami punyai masa untuk ke tempat lain.

Kami singgah di rumah sahabat di Bachok. Kawasan tersebut berdekatan dengan pantai. Selesai ziarah, kami menuju ke pantai. Ombak yang sangat kuat menyebabkan rancangan untuk mandi laut terpaksa dibatalkan. Tak apa, dapat bergambar di kawasan tersebut pun sudah cukup memuaskan hati.





Bukan air laut yang berwarna coklat itu yang menarik perhatian, namun kawasan berbatu yang ’menggunung’ serta ombak kuat yang memukul-mukul pantai dan batuan cukup memukau. Betapa Allah Maha Berkuasa mengubah sifat ombak yang kekadang tenang dan kekadang mengganas dan menggila. Semua itu untuk kita sama-sama fikirkan hikmat yang tersirat di sebalik kejadian alam.

SABTU



Majlis akad nikah berlangsung pada pukul 11.30 pagi di Masjid Al-Karomah, daerah Baung.

Kurang 30 minit membezakan zaman bujang sahabat dengan zaman berumahtngga. Sempat kami bergambar bersama-sama, di saat-saat akhir ’pengantin’ bergelar bujang.

sementara menunggu waktu kenduri, kami melawat lapangan terbang Kelantan dan sebuah lagi pantai.

Selesai solat zohor, kami terus ke rumah kenduri. Keadaan hujan yang agak lebat sedikit sebanyak membantutkan perancangan. Namun, alhamdulillah segala-galanya berjalan dengan lancar. Hmmm, ’biar gambar sahaja yang berbicara.’ Tak perlulah aku mengulas dengan lebih lanjut.






Selesai kenduri, kami ke Rantau Panjang untuk mencari sesuatu. Namun, kehadiran kami ke sana lewat petang lebih kepada menyaksikan upacara para peniaga menutup gerai. Bukan sesuatu yang mengecewakan, tetapi alhamdulillah, selamat duit dalam poket. Aku yang sudah agak banyak berbelanja, ‘menutup mata’ sambil berjalan. Tak apalah, bila-bila ada peluang lagi, aku akan sampai lagi ke sana untuk memborong barang.

Kami terus pulang ke rumah..letih, penah, tak larat…. Lepas makan malam, kami singgah di kedai makan milik Kak M. Sudah kenyang, lagi ditambah… sedap bihun sup tu…bila-bila masak la lagi yerr ..!!!!

Rasanya, cukup sekadar itu . Sebenarnya, banyak lagi yang hendak diceritakan dan banyak lagi yang tidak diceritakan. Tetapi hanya sebagai satu perkongsian. Tiada pun yang boleh diambil sebagai pengajaran. (lagipun, dah mengantuk sangat nie.. besok dah nak balik ke Penang. Cerita hari ahad tak dimasukkan sekali..)

Mungkin aku dapat kongsikan pengalaman-pengalaman ini dalam versi lain.
Cuma jika berpeluang, berjalanlah dan bermusafirlah. Jika tidak mampu ke luar negara, cukuplah sekadar di dalam negara. Sekali sekala, mata perlu bertukar warna. Dari kecil berada di ‘laut yang membiru’, tak terbayang dan tak tergambar indahnya berada di ‘padang dan hutan nan menghijau.’ Mungkin selama ini kita hanya mendengar cerita tentang ‘padang dan hutan’ dari mulut si nelayan. Maka digambarkan bahawa padang dan hutan itu penuh duri serta menakutkan. Namun, bila kita sendiri berada di atas ‘padang’, dapat kita rasakan betapa damainya dan tenangnya berada di sana….

Sekadar berkias….hehehehehe. (tak faham kalau, nasib la…)

-aku hanya ingin berkongsi-

Hisyamuddin Bin Kamarudin
30 Nov 2008 (4.04 am)
Salor, Kelantan..